Saturday, November 12, 2011

wanita. jadilah seperti pohon semalu

Malu adalah salah satu sifat mahmudah yang seharusnya ada dalam diri kita terutamanya seorang wanita muslim. Ia penting sebagai benteng untuk menjaga iman kita dari terhakis oleh perkara yang mungkin boleh menjerumuskan kita ke lembah maksiat dan perbuatan lain yang tidak elok. Jika malu itu 50% daripada Iman, mana 50% lagi. Yang selebihnya ialah Takwa.  Malu dan Takwa adalah gandingan sifat yang menjadikan seseorang mempunyai 100% keimanan.  Takwa bermaksud bukan saja takut kepada Allah tetapi lebih daripada itu ‘buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah’
Kita sebagai wanita muslim sepatutnya malu dengan Allah SWT jika ingkar akan suruhanNya, malu dengan Rasulullah SAW jika meninggalkan sunahNya, malu kerana lupa atau malas membaca Al-Quran, malu kerana tidak menghormati guru serta ibu bapa, malu kerana melakukan maksiat, dan yang penting malu dengan dosa-dosa kita.
Bila bercakap tentang malu, ada satu kisah menarik tentang MALU. Kisah antara Rasulullah SAW dan puteri baginda Fatimah.
Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang Pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.
Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawa pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek.
Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa
wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).
Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.
Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi.
Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat
dengan Allah Rabbul Alamin.
Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang.
Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.
Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil
Jadi, mulai hari ini ayuh wanita-wanita solehah sekalian, jadilah kita seperti pohon semalu yang akan malu pada tempatnya, yang sentiasa mempertahankan maruah dan harga diri, dan yang pandai menjaga diri.  Malu Sebahagian daripada Iman.

No comments:

Post a Comment