Kisah Cinta Zainab Binti Jahsy 
Model Isteri Berkerjaya 
Profil
·         Dibesarkan di Makkah, sekitar 33 tahun sebelum kenabian.
·         Sepupu Rasulullah SAW.
·         Puteri daripada ibu saudara Rasulullah SAW yang bernama Umaymah binti Abdul Muthalib bin Hasyim. 
·         Berparas cantik jelita.
·         Berdarah bangsawan yang terhormat iaitu keturunan suku Faras.
·         Mempunyai  adik-beradik yang hebat-hebat seperti Abdullah bin Jahsy, pemimpin  pasukan Islam yang dilantik Nabi, Abu Ahmad bin Jahsy, penyair tersohor  yang membela agama dengan sasteranya, dan Hamnah binti Jahsy, generasi  pertama memeluk Islam.
·         Anak saudara kepada lelaki-lelaki hebat seperti Hamzah, Singa Allah dan Abbas yang berjasa.
·         Dinikahkan  oleh Rasulullah SAW dengan anak angkat kesayangan baginda iaitu Zaid  bin Haritsah, kemudian diceraikan Zaid dan dinikahi pula oleh Rasulullah  SAW atas perintah Allah SWT.
·         Beliau  sangat pemurah hingga Nabi menjulukinya dengan gelaran ‘panjang tangan’  dan merupakan isteri yang paling cepat menyusuli kewafatan Nabi.
Golongan Pertama Beriman
Abang  kandung Zainab iaitu Abdullah bin Jahsy sangat mengagumi akhlak,  pemikiran dan kematangan Rasulullah SAW. Tidak hairanlah apabila  Rasulullah SAW diangkat menjadi Nabi, beliau segera beriman dan setia  mengikuti ajaran  baginda di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam.
Ajaran  mulia itu segera disebarkan kepada keluarga terdekat. Ia disambut penuh  yakin oleh adik-adiknya, Zainab dan Hamnah. Ketika penentangan Quraisy  memuncak terhadap ajaran  Islam, keluarga besar ini turut berhijrah ke  Madinah.
Memendam Cinta Terhadap Nabi
Zainab  seakan dipersiapkan oleh Allah SWT untuk menjadi Ummul Mukminin apabila  Dia memudahkannya untuk melengkapkan diri dengan segala sifat terpuji.  Beliau rajin bersedekah, berpuasa, solat malam dan suka berbakti kepada  orang sekeliling. Beliau sangat mudah disenangi.
Zainab   sejak  awal amat bercita-cita menjadi isteri Rasulullah SAW. Gadis mana  yang  tidak terpikat dengan susuk berwibawa semulia Nabi? Memang ramai  gadis dan janda pada zaman itu yang memendam hasrat yang sama. 
Apabila  Rasulullah SAW masuk meminang, Zainab berasa amat gembira. Hatinya  berbunga-bunga. Namun, alangkah terkejutnya Zainab apabila mengetahui  bahawa pinangan itu bukan untuk baginda sebaliknya untuk anak angkat  baginda.
Berkorban Demi Cinta Agung
            Ibnu Katsir meriwayatkan dalam tafsirnya, “Al-Aufi meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas RA menafsirkan ayat “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin…”(Surah al-Ahzab: 36) seperti berikut:
             Rasulullah SAW berhasrat meminang Zainab binti Jahsy al-Asadiyyah R.HA  untuk dinikahkan dengan Zaid bin Haritsah RA. Mendengar hal ini, Zainab  menolak, 
“Saya tidak mahu menikah dengannya.”
Rasulullah SAW tetap meminta, “Kamu harus menikahinya.”
Zainab merayu, “Wahai Rasulullah, bolehkah saya mempertimbangkannya dahulu?”
Ketika mereka sibuk berbincang, Allah SWT menurunkan ayat ini, “Dan  tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin,  apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada  bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka …”(Surah al-Ahzab: 36)
Zainab  menunjukkan pengorbanan agung apabila terpaksa rela menikahi lelaki  yang tidak disukainya semata-mata mahu memenuhi perintah Rasul dan  rencana Ilahi. 
Menikahi Insan yang Tidak Dicintai
Berkata Zainab tatkala membaca firman Allah,
“Kalau begitu, saya tidak mahu derhaka kepada Allah dan Rasul. Saat ini juga saya bersedia menikah dengannya.” (Fizilaalil quran, Sayyid Qutb, vol.5, hlm. 2865). Pengorbanan itu dilakukan semata-mata kerana cintanya kepada Allah dan Rasul.
Dalam  Islam, tiada paksaan dalam urusan perkahwinan. Namun, kes Zainab adalah  kes yang tersendiri dan istimewa. Allah dan Rasul mempunyai strategi  tertentu. 
Bernikahlah  Zainab dengan Zaid bin Haritsah, anak angkat kesayangan Nabi dan  dikenal sebagai Zaid bin Muhammad. Antara salah satu hikmah Rasulullah  SAW menikahkan Zainab, si gadis bangsawan dengan Zaid, si pemuda miskin  ialah bagi menggugurkan perbezaan darjat di antara manusia. 
Ketika  rumah tangga mereka bergolak, Zaid banyak mengadu kepada Rasulullah.  Rasulullah menyuruh Zaid tetap bersabar. Zaid dan Zainab ternyata tidak  serasi setelah setahun cuba menyemai cinta. Perceraian menokhtahkan  konflik mereka. Allah SWT menurunkan ketentuan-Nya agar Nabi menikahi  Zainab selepas Zaid menceraikannya. 
Hikmah  agung pernikahan Rasulullah SAW dengan Zainab, ia menghapuskan hukum  anak angkat yang dilayan bagaikan anak sendiri dalam soal mewarisi dan  hukum-hakam pernikahan. Perbuatan Nabi ini menyebabkan orang Islam tidak  keberatan lagi untuk menikahi bekas isteri anak angkat mereka  sebagaimana adat sosial yang menebal dalam masyarakat ketika itu.
Allah Mendedahkan Rahsia Hati Nabi
            Ibnu Abu Hatim menceritakan dari jalan periwayatan Ali bin Zaid dari Ali bin al-Husain bin Ali  bahawa dia berkata, 
“Allah  memberitahu Nabi-Nya bahawa Zainab akan menjadi salah seorang isteri  baginda sebelum baginda menikah dengannya. Oleh sebab itu, ketika Zaid  mengadukan persoalan rumah tangganya yang  tidak kunjung membaik kepada  baginda dan baginda menyarankan agar dia bertakwa kepada Allah dan tetap  mempertahankan isterinya itu, maka Allah ingin mengatakan kepada  baginda, 
“Aku  sudah memberitahumu bahawa Aku menikahkan engkau dengannya. Engkau  menyembunyikan sesuatu di dalam dirimu yang akan Allah nyatakan kepada  semua orang.” (Fathul Bari, vol.8, hlm 384).
Firman Allah SWT:
“Dan  ingatlah ketika kamu berkata kepada orang yang telah Allah limpahkan  nikmat kepadanya, “Pertahankan terus isterimu dan bertakwalah kepada  Allah.”  Sedang kamu  menyembunyikan sesuatu di dalam dirimu yang akan  Allah nyatakannya. Dan kamu takut kepada manusia sedangkan Allahlah yang  lebih berhak kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan  terhadap isterinya (menceraikannya). Kami kahwinkan kamu dengan dia  supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini)  isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu  telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adapun  ketetapan Allah itu pasti terjadi.” (Q.S.33:37 )
Ujian Bermadu
Anas  meriwayatkan, Zainab sering berbangga-bangga atas para isteri  Rasulullah yang lain kerana dinikahkan oleh Allah dari tujuh lapis  langit. Bukhori meriwayatkan dari Anas,  Zainab sering berkata, “Aku berbeza dari isteri-isteri Rasulullah S.A.W  yang lainnya. Mereka dikahwinkan oleh ayahnya, atau saudaranya, atau  keluarganya, tetapi aku dikahwinkan Allah dari langit.”
Anas  menceritakan bahawa Aisyah dan Zainab bertengkar sehingga bersuara  tinggi, padahal sudah terdengar azan solat. Abu Bakar melintasi dan  terdengar suara pertengkaran mereka. Maka dia berkata, “Keluarlah wahai  Rasulullah, dan taburkan tanah ke dalam mulut mereka”. Aisyah berkata,  “Sekarang Nabi sedang solat.” Abu Bakar datang dan melakukan sesuatu  terhadap Aisyah seraya mengecam dengan keras, “Kenapa kamu buat begini?”  (HR. Muslim). 
Pada  suatu malam, Zainab datang ke rumah Aisyah. Pada masa itu, rumah-rumah  belum diterangi lampu. Kemudian Nabi masuk lalu menghulurkan tangannya  kepada Zainab tanpa sengaja. Aisyah terus berkata, “Itu Zainab!” Nabi  segera menarik tangannya. 
Aisyah  sangat cemburukan madunya Zainab binti Jahsi, dia berkata, “Baginda  (Rasulullah) berada di sana melebihi waktu saya maka saya cemburu.”  Aisyah kemudiannya berunding dengan Hafshah merancang satu komplot.  Siapa sahaja isteri Nabi yang didatangi baginda, beliau harus  mengatakan, “Sesungguhnya aku mencium bau maghafir (makanan yang baunya tidak enak) padamu, adakah engkau baru habis minum maghafir?”  Maka setiap isteri yang diziarahi baginda, mereka akan bertanyakan  soalan yang sama. Nabi berkata, “Saya tadi minum madu di rumah Zainab  dan saya tidak akan mengulanginya lagi.” Maka turunlah ayat Allah:  (At-Tahrim: 1-4) menegur pakatan bohong ini.
Zainab  sering dicemburui. Aisyah berkata, “Dia (Zainab) adalah isteri Nabi SAW  yang nyaris setara denganku dibandingkan dengan isteri-isteri yang  lain)” (HR Bukhari).
Zainab pernah mengejek Shafiyah binti Huyay sebagai anak Yahudi sehingga Rasulullah marah kepadanya dalam tempoh yang agak lama.
Pujian Buat Zainab
Dari  Aisyah R.HA berkata, “Zainab binti Jahsy adalah seorang dari  isteri-isteri Nabi yang saya muliakan. Allah SWT menjaganya dengan  ketakwaan dan saya belum pernah melihat wanita yang lebih baik dan lebih  banyak sedekahnya dan selalu menyambung silaturahim dan selalu  mendekatkan dirinya kepada Allah selain Zainab.”
Imam Az-Zahabi berkata dalam Siyar A’alaam an-Nubalaa’, “Dia adalah seorang tokoh wanita yang mulia dalam hal ketaatan beragama, kewarakan, kedermawanan dan kebaikan.”
Abu Nua’im berkata, “Dia adalah seorang wanita yang khusyuk, selalu redha, banyak mengadu dan berdoa kepada Allah.” (Hilyatul Auliyaa’, vol.2, hlm.  51).
Model Isteri Berkerjaya
Beliau  memiliki pelbagai macam keahlian dan kepakaran. Beliau mahir menyamak  kulit, memintal serta menenun kain sutera, hasilnya dijual dan  disedekahkan. Itulah kerjaya Zainab yang menguatkan sumber ekonominya  hinggakan beliau mempunyai keistimewaan sebagai seseorang yang banyak  bersedekah.
Rasulullah  pernah bersabda kepada isterinya, “Yang paling dahulu menyusulku kelak  adalah yang paling panjang tangannya.” Maka berlumba-lumbalah isteri  baginda mengukur tangan mereka. Apabila Zainab yang pertama kali  menyusuli baginda, tahulah mereka bahawa itu kiasan bagi orang yang  banyak bersedekah. 
Zainab wafat pada 20 Hijriah, dimakamkan di Baqi’. Semoga Allah meredhainya.
                                                                                                               widad@raiha 

